“BUKAN SAYA YANG MENGUSIK METER!” – IDENTITI “PENGUSIK” DALAM KES PENGUSIKAN PEPASANGAN METER (METER TAMPERING).
by Jason Cheong Kah Lok ~ 2 August 2021
Bayangkan situasi ini: Encik A merupakan tuan punya premis dan juga merupakan pengguna berdaftar bagi akaun bekalan elektrik di premis A. Encik B merupakan penyewa premis A. Malangnya, Encik B telahpun membuat pengusikan pada pepasangan meter elektrik (mencuri elektrik) di premis A.
Pemegang lesen (pembekal elektrik) membuat pemeriksaan dan mendapati berlakunya pengusikan pepasangan meter elektrik di premis A. Pemegang lesen memulakan tindakan sivil di Mahkamah terhadap A untuk menuntut kerugian hasil akibat daripada pengusikan pepasangan meter di premis A. Bolehkah A menggunakan pembelaan bahawa pengusikan adalah bukan dilakukan oleh A tetapi dilakukan oleh B?
Dalam kes usikan pepasangan meter (KUPM), pihak pemegang lesen (pembekal elektrik) akan mengambil tindakan terhadap pengguna berdaftar (registered owner) kerana (i) pengguna berdaftar yang memasuki kontrak bekalan dengan pemegang lesen dan lanjutan daripada itu, (ii) pengguna berdaftar mempunyai akaun bekalan elektrik dengan pihak pemegang lesen. Tanggungjawab pengguna berdaftar di bawah perjanjian bekalan adalah untuk membayar semua caj tertunggak yang perlu dibayar kepada pemegang lesen.
Untuk kes KUPM, undang-undang yang utama adalah Akta Bekalan Elektrik 1990 (ABE 1990) yakni seksyen 37 dan 38.
a. Sesiapa yang mengusik meter boleh dikenakan tindakan jenayah melalui pertuduhan di bawah seksyen 37(1), (3) dan (14) ABE 1990.
b. Manakala seksyen 38(3) dan (5) ABE 1990 mengkehendakkan pengguna membayar pemegang lesen untuk kerugian hasil akibat daripada pengusikan pepasangan meter tersebut.
Seksyen 38(3) ABE 1990
(3) Pemegang lesen boleh menghendaki pengguna supaya membayar kepadanya bagi kerugian hasil yang disebabkan oleh kesalahan yang dilakukan di bawah subseksyen 37(1), (3) dan (14) dan apa-apa perbelanjaan yang munasabah yang dilakukan secara terus oleh pemegang lesen di bawah seksyen ini termasuk perbelanjaan yang dilakukan berkenaan dengan penyambungan semula elektrik mengikut cara sebagaimana yang telah diarahkan oleh Suruhanjaya:
Dengan syarat bahawa dan tertakluk kepada subseksyen (4), jika pemegang lesen tidak meneruskan tuntutan bagi kerugian hasil dan perbelanjaan itu di mahkamah, pemegang lesen hanya boleh menuntut terhadap pengguna bagi kerugian hasil dan perbelanjaan tersebut bagi tempoh tidak melebihi enam bulan ke belakang dari tarikh kesalahan itu disedari di bawah subseksyen (1).
Seksyen 38(5) ABE 1990
(5) Amaun yang dinyatakan dalam pernyataan bertulis di bawah subseksyen (4) itu hendaklah, dalam tempoh yang dinyatakan dalam pernyataan itu, menjadi genap masa dan kena dibayar kepada pemegang lesen dan jika tidak dibayar, amaun itu hendaklah didapatkan kembali melalui tindakan sivil di mahkamah.
Bagi tuntutan sivil kes KUPM di mahkamah untuk kerugian hasil, pihak pemegang lesen perlu membuktikan dua perkara utama (i) bahawa pepasangan meter telah diusik dan (ii) bahawa pihak pemegang lesen telah mengalami kerugian hasil akibat daripada pengusikan tersebut.
Persoalannya, dalam membuktikan elemen (i) di atas adakah penting untuk pihak pemegang lesen membuktikan identiti pengusik pepasangan meter?
Jawapannya adalah TIDAK.
Dalam kes THOMAS THOMAS v. TENAGA NASIONAL BHD [2017] 4 CLJ 340 (THOMAS THOMAS), Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa bagi tujuan tuntutan di bawah seksyen 38(3) hingga (5) ABE 1990, adalah tidak perlu untuk pihak pemegang lesen membuktikan identiti pengusik meter. YA Abdul Rahmah Sebli dalam menyampaikan penghakiman mahkamah menyatakan berikut:
1. Hak TNB untuk memulakan prosiding sivil terhadap pengguna berdaftar bagi kerugian akibat perlakuan kesalahan di bawah s. 37(1), (3) dan (14) Akta Bekalan Elektrik 1990 ('ESA') dirangkumi oleh s. 38(3) hingga (5) ESA. Bagi maksud tuntutan di bawah s. 38(3) hingga (5), TNB tidak perlu membuktikan identiti orang yang merosakkan atau mengusik meter.
2. Kes TNB bukan bahawa perayu yang mengusik meter. Kausa tindakan TNB adalah bahawa ia kehilangan pendapatan disebabkan oleh pengusikan meter. Tiada keperluan bawah ESA bahawa TNB mesti membuktikan bahawa ia adalah pengguna berdaftar yang merosakkan atau mengusik meter sebelum ia boleh berjaya dalam tuntutan terhadap pengguna di bawah s. 38(3) hingga (5) ESA. Berbuat demikian akan membawa kepada ketidakmunasabahan.
3. Pengusikan meter, menyebabkan kerosakan kepada meter atau penggunaan elektrik secara tidak jujur adalah perbuatan jenayah yang tidak akan dan tidak boleh menjejaskan hak TNB untuk mendapatkan semula kehilangan pendapatan melalui prosiding sivil menurut s. 38(3) hingga (5). Tiada pengguna berdaftar yang boleh dilepaskan tanpa membayar apa-apa kepada TNB atas alasan bahawa meter telah dirosakkan atau diusik. Juga, pengguna berdaftar, tidak boleh penggunakan pembelaan tersebut atas alasan mudah bahawa ia akan menyebabkan kekayaan tidak adil kepada pengguna.
4. Walaupun premis tersebut telah disewakan dan diduduki oleh pihak ketiga dan perayu tidak pernah menduduki premis tersebut, perayu tidak boleh melarikan diri daripada fakta bahawa perjanjian bagi pembekalan elektrik kepada premis tersebut adalah antara perayu dan TNB dan tidak melibatkan mana-mana pihak ketiga. Tanggungjawab perayu, sebagai 'pengguna' di bawah perjanjian, adalah untuk membayar semua caj tertunggak yang perlu dibayar kepada TNB.
Perkara yang sama turut diputuskan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes TENAGA NASIONAL BHD v. ASIA KNIGHT BHD [2018] 5 CLJ 227 yang mana pihak Defendan membangkitkan pembelaan bahawa defendan tidak mempunyai akses kepada bilik meter. Mahkamah Rayuan memutuskan seksyen 38(3) tidak memerlukan pihak Plaintif selaku pemegang lesen untuk membuktikan bahawa pesalahlaku (perpetrator) usikan pepasangan meter adalah Defendan ataupun Defendan mempunyai akses kepada pepasangan meter sebelum suatu tuntutan kerugian hasil dapat dilakukan oleh Plaintif.
[12] Be that as it may, the learned judge also took the view that the defendant could not be liable for the loss of revenue as it was not proved that the defendant had access to the meter room or had tampered with the meter. In our considered view, sub-s. 38(3) of the EA 1990 does not require the plaintiff to prove that the perpetrator of the tampering was the defendant or that the defendant had access to the meter installation before a claim for loss of revenue can be made by the plaintiff. We agree with the argument of the plaintiff that the plaintiff's entitlement to claim for the loss of revenue is a statutory right conferred on the plaintiff under sub-s. 38(3) read together with sub-s. 38(1) of the EA 1990.
Walaubagaimanapun, dalam kes THOMAS THOMAS juga, Mahkamah Rayuan selanjutnya memutuskan bahawa sekiranya pihak pengguna berdaftar dituduh di bawah seksyen 37 bagi kesalahan pengusikan pepasangan meter, maka identiti pengusik adalah perlu dibuktikan.
[15] Being a commercial contract, we do not think it will be commercially sensible to construe the contract between the appellant and TNB as requiring TNB to first prove that the damage or tampering was done by the appellant before it could succeed in its claim. Such proof would only be required if the appellant had been charged with any of the offences relating to meter tampering specified in s. 37 of the ESA.
Kesimpulannya, bagi tuntutan kerugian hasil oleh pemegang lesen (Plaintif) terhadap pengguna berdaftar (Defendan) di Mahkamah melalui tindakan sivil, pihak pemegang lesen perlu membuktikan bahawa wujudnya pengusikan di pepasangan meter. Walaubagaimanapun, pihak pemegang lesen tidak perlu membuktikan bahawa pihak pengguna berdaftar sendiri yang mengusik pepasangan meter. Dalam erti kata lain, pihak pemegang lesen tidak perlu membuktikan identiti pengusik.
Walaubagaimanapun, bagi pertuduhan di bawah seksyen 37 untuk kes jenayah akibat tindakan pengusikan meter, pihak pendakwaan perlu membuktikan identiti pengusik; bahawa tertuduh adalah merupakan pengusik pepasangan meter tersebut (lihat kes THOMAS THOMAS).
Oleh itu, tips kepada pengguna (pemilik premis) yang hendak memberi sewa premis kepada orang lain (penyewa):