Hak Pengguna dalam Kes Kerosakan Meter Elektrik (Bahagian 1)

by Jason Cheong Kah Lok ~ 13 April 2021

Hak Pengguna dalam Kes Kerosakan Meter Elektrik (Bahagian 1)


Jason Cheong Kah Lok

Email me

Dalam kes kerosakan meter elektrik, pengguna tidak sepatutnya dipersalahkan. Namun demikian, apabila meter rosak, meter telah gagal untuk merekodkan penggunaan elektrik yang sebenar oleh pengguna. Maka kerosakan meter elektrik telah menyebabkan pembekal elektrik terlebih caj atau terkurang caj kepada pengguna. Sekiranya wujud amaun terkurang caj, maka ia menyebabkan kerugian kepada pembekal elektrik.

Persoalannya, bagaimanakah undang-undang mengimbangi hak pengguna dan hak pemegang lesen bekalan elektrik dalam kes-kes kerosakan meter elektrik? 

Apakah undang-undang yang berkenaan?

Pertama sekali, undang-undang berkenaan dengan kerosakan meter elektrik adalah berikut, antaranya:

Akta induk iaitu Akta Bekalan Elektrik 1990 (ABE)

Peraturan-peraturan di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 yakni Peraturan-peraturan Bekalan Pemegang Lesen 1990 (PPBPL); serta

Garis Panduan Suruhanjaya Tenaga. 

Siapakah pihak-pihak dalam kes meter rosak? 

Dalam situasi meter rosak, pihak-pihak yang terlibat adalah kebiasaanya (i) pengguna dan juga (ii) pemegang lesen (pembekal elektrik). 

Seksyen 2 ABE mentafsirkan pengguna sebagai “orang yang dibekalkan dengan elektrik atau yang premisnya pada masa ini disambungkan bagi maksud pembekalan elektrik oleh pihak berkuasa bekalan atau pemegang lesen” manakala pemegang lesen di bawah seksyen yang sama ditakrifkan sebagai “orang yang diberikan lesen untuk membekalkan elektrik”. 

Pada masa yang sama, meter pula didefinisikan sebagai:

“Apa-apa perkakas, alat, kelengkapan atau peranti yang digunakan bagi maksud mengukur dan merekodkan jumlah tenaga elektrik atau permintaan maksimum atau faktor kuasa atau mana-mana gabungannya”

Seksyen 2, Akta Bekalan Elektrik 1990

Dalam mengkaji hak pengguna dan hak pemegang lesen dalam kes meter rosak, adalah penting untuk kita tahu dan faham berkenaan proses tuntutan amaun terkurang caj akibat daripada kerosakan meter. 

Perlu untuk diingati dan ditegaskan di sini bahawa kes kerosakan meter ataupun dikenali sebagai kes kejanggalan biasa adalah tidak sama dengan kes usikan pepasangan meter atau yang lebih dikenali sebagai kes kecurian bekalan elektrik (meter tampering). Proses penyiasatan dan tuntutan untuk kes kecurian arus adalah berbeza dengan kes meter rosak. 

Apakah langkah yang akan diambil oleh pemegang lesen dalam kes meter rosak? 

Secara asasnya, proses tuntutan amaun terkurang caj kerana meter rosak adalah boleh dirumuskan seperti di bawah 

Adakah pihak pemegang lesen boleh memasuki premis pengguna? 

Jawapannya adalah YA. 

Kuasa kemasukan oleh pemegang lesen ke dalam premis bagi tujuan pemeriksaan apa-apa pepasangan adalah di bawah peraturan 7, 8, 9 dan 10 PPBPL

PPBPL memperuntukkan kuasa kepada pemegang lesen untuk memasuki mana-mana premis di mana terdapat pepasangan dan kelengkapan pemegang lesen untuk memeriksa, membaiki, menyenggara, mengalih atau mengganti pepasangan atau kelengkapan tersebut.

Kemasukan pegawai yang diberi kuasa oleh pemegang lesen ke premis pengguna hendaklah dengan menggunakan Kad Kuasa atau apa-apa dokumen yang dikeluarkan oleh pemegang lesen. 

Pegawai berkenaan boleh membawa masuk bersama-samanya pekerja pemegang lesen dan/atau mana-mana orang yang menyertainya yang ditugaskan sebagaimana yang telah diperuntukkan di bawah subperaturan 10(2), PPBPL

Mana-mana pegawai yang diberi kuasa oleh pemegang lesen boleh pada bila-bila masa yang munasabah, atas pengemukaan apa-apa dokumen yang disahkan dengan sewajarnya kuasanya memasuki mana-mana premis yang padanya bekalan elektrik sedang diberikan oleh pemegang lesen menerusi talian bekalan dan kelengkapan elektrik pemegang lesen bertujuan: 

memeriksa mana-mana talian bekalan atau kelengkapan elektrik yang dipunyai oleh pemegang lesen; 

menentukan daftar mana-mana meter elektrik; atau 

mengalihkan, memeriksa atau memasang mana-mana meter eletrik atau memasang apa-apa meter gantian.

Pegawai yang diberi kuasa oleh pemegang lesen hendaklah memaklumkan kepada pengguna/pemilik/wakil premis tujuan pemeriksaan seperti berikut: 

  • memaklumkan terus sekiranya pengguna/pemilik/wakil premis hadir; dan 
  • meninggalkan Surat Pemberitahuan Pemeriksaan dan Pengujian terhadap Pepasangan dan/atau Meter Pemegang Lesen di premis pengguna

Apa yang akan dilakukan oleh wakil pemegang lesen semasa di premis pengguna?

Pihak pemegang lesen akan melakukan pengujian dan pemeriksaan terhadap pepasangan meter.

Semasa pemeriksaan dan ujian dijalankan oleh pekerja pemegang lesen, pengguna/pemilik/wakil premis hendaklah hadir bersama.

Pekerja pemegang lesen hendaklah mematuhi senarai semak semasa hendak menjalankan pemeriksaan dan ujian ke atas pepasangan dan/atau meter.

Senarai semak untuk kes meter rosak adalah berikut:

  • Pemegang lesen akan melakukan pengesahan data pengguna bagi memastikan maklumat pengguna dan meter adalah sama dengan system pangkalan data maklumat pengguna pemegang lesen. 
  • Pemeriksaan fizikal untuk mengesan kerosakan meter. 
  • Pengujian untuk mengkaji sama ada meter merekodkan bacaan sebenar atau tidak. 
  • Pengambilan bahan bukti dengan mengambil gambar secara jelas. 
  • Tindakan pembetulan untuk memastikan kerosakan dibaiki dan meter merekodkan bacaan sebenar. 
  • Kehadiran saksi bagi memastikan saksi hadir semasa pemeriksaan. 
  • Pemegang lesen perlu memastikan pepasangan meter kemas dan teratur sebelum meninggalkan premis

Hasil pemeriksan dan ujian hendaklah diisi di dalam Borang Pemeriksaan dan Pengujian Pepasangan Meter yang disediakan dengan lengkap dan ditandatangani oleh Juruteknik/Eksekutif Teknikal/ Jurutera bertugas. Di sini pihak pemegang lesen sepatutnya mendapati sama ada meter adalah rosak dan butiran berkenaan kerosakan meter akan dicatat di borang pemeriksaan  tersebut. 

Seterusnya, hasil pemeriksaan dan ujian hendaklah dimaklumkan secara lisan kepada pengguna/pemilik/wakil selepas pemeriksaan dan ujian dijalankan.

Kemudiannya, borang pemeriksaan dan pengujian hendaklah ditandatangani oleh pengguna/pemilik/wakil dan jika enggan, catitan hendaklah dibuat di ruangan yang disediakan seperti “pengguna/ pemilik/wakil premis enggan menandatangani”.

Sekiranya meter rosak, pihak pemegang lesen perlu untuk melakukan kerja-kerja pembaikian meter yang termasuk proses menukar meter. 

Apakah yang akan dilakukan oleh pemegang lesen selepas pemeriksaan di premis pengguna? 

Sejurus itu, pihak pemegang lesen sepatutnya melakukan suatu ulasan teknikal yang mana ulasan teknikal tersebut hendaklah ditandatangani oleh Jurutera/Eksekutif Teknikal bertugas dalam tempoh yang munasabah dari tarikh pemeriksaan. 

Setelah pihak pemegang lesen mendapati bahawa meter pengguna adalah rosak, maka pihak pemegang lesen akan melakukan pelarasan ke belakang caj elektrik dan seterusnya memaklumkan kepada pengguna berkenaan amaun terkurang/terlebih caj melalui surat. 

Peraturan 11(2) PPBPL memperuntukkan bahawa sekiranya meter didapati rosak, pemegang lesen hendaklah membuat pelarasan secara ke belakang ke atas akaun pengguna berkaitan bagi penggunaan dan permintaan untuk tempoh tersebut dengan mengambil kira rekod pemegang lesen, rekod dan sejarah penggunaan pengguna, bukti teknikal yang ada dan keadaan lain yang berkaitan bagi membetulkan keadaan caj terkurang atau terlebih tersebut: 

Dengan syarat bahawa tempoh bagi mana-mana pelarasan ke belakang hendaklah tidak melebihi tiga bulan dari tarikh pengguna diberitahu tentang caj terkurang atau terlebih tersebut.

Dalam situasi apabila wujudnya amaun terkurang caj, pihak pemegang lesen akan menuntut daripada pengguna amaun terkurang caj. Dalam erti kata lain, pengguna perlu membayar kepada pemegang lesen. 

Sekiranya pengguna enggan, maka pihak pemegang lesen akan menuntut daripada pengguna melalui tindakan Mahkamah. Adalah amat penting untuk pengguna memastikan bahawa amaun yang dituntut adalah betul dan tepat selaras dengan peruntukan undang-undang. 

Sebaliknya sekiranya kerosakan meter telah menyebabkan wujudnya amaun terlebih caj, maka pemegang lesen perlu membayar semula amaun yang terlebih caj kepada pengguna. Pengguna perlu untuk memastikan amaun yang dibayar semula adalah betul dan tepat selaras dengan peruntukan undang-undang. 

Tips kepada pengguna (INGAT!)

Berdasarkan kepada proses-proses disebut di atas, perkara-perkara berikut adalah penting untuk dilakukan oleh pengguna bagi memastikan haknya terjamin:

  • Semasa pihak wakil pemegang lesen datang ke premis pengguna, pengguna boleh menuntut dikemukakan kad kuasa atau apa-apa dokumen yang dikeluarkan oleh pemegang lesen bagi tujuan pemeriksaan. 
  • Kemudiannya, pihak pengguna boleh bertanyakan kepada pihak pemegang lesen berkenaan perkara-perkara yang akan dilakukan di premis pengguna. 
  • Sekiranya boleh, pihak pengguna boleh cuba untuk meminta agar kehadiran seorang juruelektrik lantikan pengguna bagi memerhati proses pengujian dan pemeriksaan meter (bukan untuk menghalang pihak pemegang lesen melakukan tugas mereka).
  • Pihak pengguna turut boleh meminta untuk merekodkan dan/atau mencatatkan proses-proses atau langkah-langkah yang dilakukan oleh pemegang lesen di premis pengguna
  • Pihak pengguna perlu memerhatikan proses pemeriksaan dan pengujian tersebut satu persatu dan cuba mendapatkan kefahaman menyeluruh berkenaan proses yang dilakukan oleh pemegang lesen (ujian yang dijalankan, hasil ujian dan sebagainya). 
  • Pihak pengguna mesti mendapatkan salinan dokumen-dokumen (serta gambar-gambar) berkenaan dengan pengujian dan pemeriksaan pepasangan meter yang dilakukan di premis pengguna kerana dokumen-dokumen tersebut akan digunakan sebagai bahan bukti bagi sebarang tuntutan amaun. 
  • Pihak pengguna juga boleh mendapatkan khidmat mana-mana orang yang mempunyai kemahiran dan pengetahuan dalam bidang elektronik dan elektrik untuk menilai sama ada (i) proses pemeriksaan adalah betul dan (ii) hasil ujian  / ulasan teknikal adalah tepat i.e. meter sememangnya rosak. 
  • Akhir sekali dan yang paling penting sekali, sekiranya pihak pengguna mendapat surat tuntutan / surat makluman berkenaan amaun terkurang / terlebih caj, adalah amat mustahak untuk pihak pengguna perlu mendapatkan khidmat nasihat guaman untuk memastikan amaun yang dinyatakan adalah betul dan tepat selaras peruntukan undang-undang. 

Kesimpulannya, semasa pemeriksaan dan pengujian pepasangan meter oleh pihak pemegang lesen, pihak pengguna tidak perlu takut dan cemas sebaliknya perlu melakukan perkara yang disyorkan di atas bagi memastikan haknya terjamin.